Sunday, February 27, 2011

life.....

Setiap insan punyai masalahnya tersendiri dan secara warasnya semua kita mahu masalahnya diselesaikan dengan segera. Jika dibuat kajian, pertama; masalah itu ada yang kecil dan ada yang besar. Cuma kita sahaja yang mampu membuat penilaiannya. Jangan dihimpunkan semuanya sebagai masalah besar dan jangan pula diremehkannya kesemuanya sebagai masalah kecil pula. Kecil atau besar masalah itu melihat kepada implikasi yang akan terjadi jika ianya tidak ditangani dengan betul.

Kedua; masa sebagai penyelesaiannya. Cara menyelesaikan masalah ini juga berbeza. Ada yang perlu tindakan segera dan ada pula yang boleh diselesaikan dengan lanjutan masa. Pandai-pandailah kita memilih yang lebih utama untuk diselesaikan. Sabar dan tenang akan menjadi pengubat yang mujarab.

Ketiga; jangan dicampur-adukan masalah ini pada masa mahupun tempat yang tidak sesuai. Masalah pejabat tinggalkannya apabila kita pulang ke rumah. Begitu juga masalah peribadi atau rumah-tangga jangan dibawa pula ke pejabat dan begitulah seterusnya. Jangan pula orang lain yang tidak berkenaan menjadi mangsa lepasan tekanan masalah tersebut. Itu tidak adil namanya.

Keempat; beri perhatian, perancangan dan tindakan yang sewajarnya. Cuba senaraikan kesemua masalah itu dan agihkan mengikut ketiga perkara tadi, buatkan petak-petak yang sesuai dan jadualkan satu persatu apa yang patut dibuat, bagaimana, bila dan di mana tempatnya.

Menangani masalah atau tekanan bukan perkara senang. Kanak-kanak, remaja mahupun orang dewasa tentu mempunyai tekanan perasaan yang tersendiri. Menerima hakikat ini ialah salah satu cara menangani tekanan. Jangan membuat sesuatu apabila dalam kemarahan telah memuncak. Ambil wudhuk atau mandi dan jauhi masalah itu seketika. Kalau ada kemampuan solat sunat 2 rakaat dan berdoalah. Kemudian datang kembali dan tangani masalah itu dengan tenang.

Ingat cuba asingkan masalah dengan bijaksana. Sekiranya di sekolah atau pejabat biarlah masalah itu di situ. Keluarga dan rumahtangga biar ianya habis atau tangguhkan di situ dan begitulah seterusnya. Carilah seseorang untuk meluahkan masalah ini sesuai dengan individu itu, masa dan tempatnya. Paling penting sekali kita redha dengan ketentuan Allah SWT selepas kita berusaha dan melakukan yang terbaik, akhir sekali berdoalah. Allah SWT sentiasa menanti hamba-hambaNya yang sudi memohon pertolonganNya...

No comments:

Post a Comment