Monday, February 28, 2011

KETAGIH HIBURAN???

Hiburan. Istilahnya sahaja sudah menyeronokkan kerana ia mengingatkan kita untuk relaks dan bersantai. Menurut Kamus DBP, hiburan itu sesuatu yang menyukakan dan menggembirakan hati. Ia juga adalah sesuatu yang menyeronokkan yang mampu mengalih perhatian, mengikut Kamus Merriam-Webster pula. Melihat kepada maknanya, hiburan itu suatu aktiviti yang ringan.
Namun, oleh kerana ia menggembirakan, maka hiburan menjadi rekreasi kegemaran yang akan dilakukan oleh kebanyakan daripada kita. Meskipun pada mulanya hiburan adalah sesuatu yang sampingan, oleh kerana ia menjadi minat manusia yang meluas, maka hiburan menjelma menjadi satu industri.
Sedangkan revolusi industri di United Kingdom pada kurun ke-18 dan ke-19 yang telah mengubah sama sekali sosio-budaya dan sosio-ekonomi manusia, hiburan tidak pernah menjadi pilihan manusia untuk dikembangkan. Sebaliknya, bidang pertanian, pengeluaran, perlombongan, pengangkutan dan juga teknologi yang menjadi penjana asal revolusi industri itu.
Hiburan yang berupa acara sampingan, kini sudah menjadi acara utama kerana hiburan menjenguk dan mencelah di mana-mana, pada setiap ruang dan ketika. Kita bangun pagi bukan lagi kerana mendengar kokokan ayam, tetapi bila muzik rancak berkumandang daripada jam di telefon bimbit.
Apabila memutar ke stesyen radio, kita mendengar celoteh juruhebah yang lebih gemar memperkatakan topik-topik yang lawak hingga kita tertawa. Kita sudah tidak mendengar juruhebah yang memperingat kita dengan informasi atau menasihati kita kata-kata hikmat. Lawak hanya menghiburkan. Ia tidak akan membahagiakan seperti mendengar kata-kata hikmat.
Di akhbar-akhbar, berita-berita tentang ekonomi, masalah sosial dan bisnes jarang sekali dipilih menjadi tajuk utama. Sebaliknya berita-berita orang-orang politik yang berpolemik, cerita sensasi dan berbaur seks lebih mendapat tempat kerana ia berunsur hiburan. Di televisyen juga, drama, program realiti, konsert dan peragaan fesyen didapati lebih banyak daripada program-program berupa informasi, penyelidikan dan keilmuan.
Apabila kita membuka internet, terdapat berjuta-juta gerbang dan laman berupa hiburan hinggakan kita terlupa menjadikan komputer sebagai alat untuk memperoleh ilmu, bukannya untuk mendapat hiburan. Hiburan kini muncul di mana-mana. Hinggakan kita bukan lagi memilih hiburan untuk merehatkan fikiran, tetapi kita terpaksa memilihnya kerana ia dipersembahkan dalam beranika bentuk. Justeru itu, kita dileka dan dilalaikan. Tanpa kita sedari, kita tidak boleh hidup tanpa hiburan barang seketika.
Santapan rohani kita bukan lagi solat, zikir dan tafakur. Bukan lagi melihat mentari senja terbenam, atau melihat sekawan burung berterbangan pulang ke sarang. Sebaliknya santapan rohani kita adalah persembahan yang tentunya mengandungi muzik yang bergemuruh bunyinya dan cerita tahyul yang menakutkan hingga ia memberi kesan terhadap tabiat tidur kita.
Santapan jasmani kita bukan lagi pergi ke hutan memikat burung, berlari di sawah dengan berkaki ayam atau berperahu mudik ke kuala. Santapan jasmani kita adalah tarian yang diiringi muzik yang membingitkan. Kalau adapun yang bersukan, jumlah yang menjadi penontonnya lebih ramai daripada yang beraksi di padang atau gelanggang.
Santapan minda kita bukan lagi bahan bacaan yang mendatangkan manfaat, tetapi santapan minda kita adalah bahan bacaan yang bukannya fakta tetapi fitnah, bukannya celoteh tetapi cercaan, bukannya berita tetapi hampas cerita yang sudah dibaca berulangkali sama ada di majalah mahupun di internet.
Sebenarnya, hiburan itu bagus jika ia dinikmati secara sambilan. Ia sampingan, bukan keutamaan. Ia sepatutnya merehatkan, bukannya meleka dan melalaikan. Sebaliknya, jika kita nikmati hiburan tidak tentu masanya, kita menjadi akibat dilolokkan. Akhirnya, kita menjadi manusia hedonis ~ manusia yang suka berseronok di sepanjang masa. Sedangkan keseronokan itu bukannya kebahagiaan.
Kerana keseronokan selalunya seketika.
Kebahagiaan lazimnya berpanjangan.

life.......

Tips Mulakan Solat Setelah LAMA Tinggalkn

Tidak dinafikan ramai umat Islam zaman sekarang yang tidak mengerjakan solat.Tapi saya percaya ramai di antara mereka pernah dididik tentang kewajipan solat dan pernah mengerjakannya. Mungkin akibat kelekaan duniawi, ibadah suci itu telah terperosok, jauh di dalam lubuk hati, sama ada sedar atau pun tidak.Yang nyata, aku tidak pernah berasa benci atau marah kepada mereka yang tidak mengerjakan solat, apatah lagi untuk memandang hina golongan ini.aku pun termasuk glongan mcm ni jugak.

Kerana solat itu sendiri adalah soal hati dan keikhlasan. Tanpa keikhlasan, tak mungkin perbuatan solat itu mencapai maksudnya.Namun begitu, janganlah kita berasa selesa dengan kejahilan. Jangan pula berasa bangga dengan ilmu dan amalan. Sebaliknya, berazam dan berusahalah untuk mengerjakannya dengan istiqamah di samping memperbaiki segala kelemahan yang ada.

Untuk mengingatkan diri saya sendiri dan para pembaca..

1. Sematkan azam, bulatkan tekad
Sebaik sahaja tersedar dari lamunan (sedar rupanya dah lama tinggal solat), cuba fikir sedalam mungkin tentang apa yang anda lakukan, apa yang tak sepatutnya anda lakukan, dan apa yang sepatutnya anda lakukan.

Dari situ, tanam keazaman yang kukuh bahawa anda ingin mengerjakan solat, dan tidak akan meninggalkannya sampai bila-bila. Kerana itulah tujuan anda hidup di atas muka bumi ini sebenarnya.

2. Cari masa dan tempat yang sesuai, sunyi, jauh dari dugaan
Kemudian tetapkan masa di mana anda akan mula menjalani kehidupan sebagai seorang yang mengerjakan solat. Lebih cepat lebih baik. Ingatlah, berdosa besar bagi orang yang melengah-lengahkan solat.

Sebaiknya, cari tempat yang sunyi dan jauh dari dugaan. Jauhi rakan-rakan yang tidak solat atau suka mengejek, sekurang-kurangnya untuk waktu itu sahaja. Masjid juga adalah tempat yang baik.

3. Solat sekali dahulu, baru ada kali kedua
Walau sekuat mana pun azam, sebulat mana pun tekad, sebaik mana pun masa dan tempat, tanpa solat yang pertama, takkan jadi solat yang kedua dan seterusnya.

Oleh itu, mulakan sahaja tanpa berlengah. Bak kata iklan NIKE - Just do it!

4. Buat nota peringatan dan galakan
Kalau ada masa dan semangat yang berkobar-kobar, tuliskan kata-kata peringatan dan galakan di atas sehelai kertas (besar atau kecil).

Kemudian yang besar tampal di dinding, manakala yang kecil diletakkan dalam wallet atau poket baju.

Tips ini mungkin kurang sesuai jika anda tinggal bersama rakan-rakan yang tidak mengerjakan solat. Dibimbangi ada yang kata anda nak tunjuk bagus,'eleh smayang konon'

5. Fahami maksud setiap bacaan dalam solat
Jika anda kurang bersetuju dengan point ini, saya nasihatkan supaya cuba dahulu. Anda pasti akan merasai kelainannya.

Bukan faham satu-satu ayat, tetapi satu-satu perkataan. Di situ akan bermula keindahan solat, di mana anda akan rasa seolah-olah khusyuk itu mula hadir dalam diri semasa mengerjakan solat.

6. Baca perlahan-lahan mengikut tertib
Sewaktu solat, baca perlahan-lahan untuk meningkatkan rasa manis, indah dan seronok.

7. Tingkatkan imaginasi
Sewaktu menghayati maksud, tingkatkan imaginasi anda. Bayangkan keindahan bertemu Allah yang menjemput kita untuk sujud kepada-Nya.

8. Doa mohon kekuatan dan sokongan
Panjatkan doa kepada Allah s.w.t dengan memohon kekuatan dan sokongan untuk berubah menjadi hamba-Nya yang taat. Hendaklah diamalkan sejurus selepas setiap kali solat.

9. Tumpu perhatian pada hari-hari yang dilalui
Tumpukan perhatian anda pada hari yang anda sedang lalui dengan mengerjakan solat. Berilah pujian kepada diri anda dan berikan tahniah kepada diri anda setiap kali anda berjaya mengerjakan solat.

10. Dapatkan adrenaline sewaktu mendengar azan
Adrenaline boleh digunakan sebagai pembantu dengan memberi suatu kejutan semangat yang berkobar-kobar untuk terus pergi menunaikan solat tanpa berlengah-lengah.

Jika anda dapat menanam adrenaline ini sehingga menjadi tabiat, anda pasti akan meninggalkan segala kerja yang anda lakukan, apabila terdengar sahaja azan berkumandang. Best tak?

11. Berfikir secara positif
Fikirkan diri anda sebagai seorang yang mengerjakan solat sebaik sahaja anda memulakannya dan sentiasa peringatkan diri anda sedemikian.

Sekiranya ada rakan anda yang mengajak anda ke mana-mana sebelum sempat anda menunaikan solat, katakanlah saya belum bersolat, tunggu sebentar atau pergi dahulu.

Ingatlah bahawa anda telah membuat pilihan positif untuk mengerjakan solat.

12. Dapatkan sokongan mental dan rohani
Berikanlah peringatan kepada keluarga, kawan rapat dan rakan sekerja yang anda telah mula mengerjakan solat dan memerlukan kerjasama serta sokongan daripada mereka.

Mintalah rakan-rakan anda yang tidak mengerjakan solat supaya menghormati keputusan anda.

13. Lawan kemalasan dalaman dan godaan syaitan
Dari semasa ke semasa anda akan merasai suatu kemalasan, kebosanan, dan sebagainya, yang mana semua itu sebenarnya hanyalah godaan syaitan dan kemalasan diri sendiri.

Oleh itu lawanlah sehabis-habis mungkin. Ingatlah anda lawan ni pun tak lama. Lama kelamaan ibadah ini akan sebati juga dalam diri anda, dan tidak perlu dipaksa lagi.

14. Banyakkan bahan bacaan tentang solat
Kerapkan diri anda membaca kisah-kisah nikmat solat untuk membangkitkan semangat. Baca juga tentang dosa meninggalkan solat untuk membangkitkan rasa takut pada Allah s.w.t. Moga-moga dilimpahi rahmat dan keberkatan oleh-Nya.

Kesimpulan
Jika topik ini dirasakan tidak berkaitan dengan anda, ingatlah: Hari ini mungkin bukan hari anda. Esok lusa tiada siapa yang tahu. Diharap dapat dijadikan panduan kita bersama.

Sama-samalah kita saling memperingati sesama Islam.
Wallahu a'lam.

Sunday, February 27, 2011

life.....

Setiap insan punyai masalahnya tersendiri dan secara warasnya semua kita mahu masalahnya diselesaikan dengan segera. Jika dibuat kajian, pertama; masalah itu ada yang kecil dan ada yang besar. Cuma kita sahaja yang mampu membuat penilaiannya. Jangan dihimpunkan semuanya sebagai masalah besar dan jangan pula diremehkannya kesemuanya sebagai masalah kecil pula. Kecil atau besar masalah itu melihat kepada implikasi yang akan terjadi jika ianya tidak ditangani dengan betul.

Kedua; masa sebagai penyelesaiannya. Cara menyelesaikan masalah ini juga berbeza. Ada yang perlu tindakan segera dan ada pula yang boleh diselesaikan dengan lanjutan masa. Pandai-pandailah kita memilih yang lebih utama untuk diselesaikan. Sabar dan tenang akan menjadi pengubat yang mujarab.

Ketiga; jangan dicampur-adukan masalah ini pada masa mahupun tempat yang tidak sesuai. Masalah pejabat tinggalkannya apabila kita pulang ke rumah. Begitu juga masalah peribadi atau rumah-tangga jangan dibawa pula ke pejabat dan begitulah seterusnya. Jangan pula orang lain yang tidak berkenaan menjadi mangsa lepasan tekanan masalah tersebut. Itu tidak adil namanya.

Keempat; beri perhatian, perancangan dan tindakan yang sewajarnya. Cuba senaraikan kesemua masalah itu dan agihkan mengikut ketiga perkara tadi, buatkan petak-petak yang sesuai dan jadualkan satu persatu apa yang patut dibuat, bagaimana, bila dan di mana tempatnya.

Menangani masalah atau tekanan bukan perkara senang. Kanak-kanak, remaja mahupun orang dewasa tentu mempunyai tekanan perasaan yang tersendiri. Menerima hakikat ini ialah salah satu cara menangani tekanan. Jangan membuat sesuatu apabila dalam kemarahan telah memuncak. Ambil wudhuk atau mandi dan jauhi masalah itu seketika. Kalau ada kemampuan solat sunat 2 rakaat dan berdoalah. Kemudian datang kembali dan tangani masalah itu dengan tenang.

Ingat cuba asingkan masalah dengan bijaksana. Sekiranya di sekolah atau pejabat biarlah masalah itu di situ. Keluarga dan rumahtangga biar ianya habis atau tangguhkan di situ dan begitulah seterusnya. Carilah seseorang untuk meluahkan masalah ini sesuai dengan individu itu, masa dan tempatnya. Paling penting sekali kita redha dengan ketentuan Allah SWT selepas kita berusaha dan melakukan yang terbaik, akhir sekali berdoalah. Allah SWT sentiasa menanti hamba-hambaNya yang sudi memohon pertolonganNya...